Hari ni saya ada baca blog-blog hiburan yang share gambar Erma Fatima memegang anak tirnya yang baru lahir. Saya respect Erma yang sanggup berkorban jiwa dan perasaan hanya untuk kegembiraan suaminya. Tak semua perempuan sanggup buat apa yang Erma buat kan?

Apa yang menarik perhatian saya ialah caption Erma mengenai gambar tersebut di instagram beliau...


Saya tahu captionya sekadar menggambarkan kesedihan dirinya yang belum ada rezeki memberikan zuriat sendiri kepada suaminya. Saya faham. Saya sangat mengerti. Apa pun itu hak Erma untuk berkata apa pun. Saya pun respect pandangan dia.

Tetapi jika mengambil kira persepsi MALANG itu, malang juga lah bagi saya dan juga wanita lain yang sudah bertahun tahun kahwin tetapi masih belum dikurniakan rezeki anak. Malangkah kita?

Terpulang masing-masing punya pandangan. Bagi saya, malang atau tak kita adalah insan terpilih. Yang dapat anak pun insan terplih, yang belum dapat anak pun insan terpilih. Allah dan tentukan qada dan qadar kita dan itulah yang menjadi asas hidup kita selama ini. Segalanya ditentukan Nya.

Kalau lah malang nya saya tak dapat memberi zuriat kepada suami saya, tetapi beruntungnya nya saya dikurniakan suami yang penyayang dan sangat memahami dan menerima saya seadanya. Dia bersabar dengan setiap kerenah saya. Beruntung juga saya bila berkahwin dengan suami, saya kenal erti nilai kekeluargaan sebenar. Dapat mak mertua yang sangat sporting, dapat abang dan kakak yang dapat menerima saya seadanya dalam keluarga mereka. Alhamdulillah..

Kalaulah malangnya saya tak dapat zuriat sendiri, tetapi beruntungnya saya dapat menjaga ibu saya dengan baik walaupun tak sempurna. Dapat hantar adik ke Universiti. Dan menjadi tempat bergantung ibu dan adik adik saya setelah ayah tiada. Saya dapat focus diri menjaga family saya. Kalau lah saya ada anak sekarang, mungkin focus saya beralih kepada anak-anak.

Malangkah saya kalau tak ada anak, kerana di saat saya kini berada di Kedah, suami pula di Perak. Kami berPJJ selama hampir 3 tahun, atas komitmen kerja masing-masing. Kami sepakat untuk duduk berjauhan sementara saya habiskan sekolah adik saya, nak jaga emak lagi dan suami juga perlu jaga emak mertua saya di sana. Jadi kami tak kisah tak dapat duduk sebumbung. Dan perancangan Allah tu sememangnya sangat teratur. Dia tahu saya tak mampu nak pikul tanggungjawab membesarkan anak seorang diri berjauhan dari suami pada masa yang sama kena jaga family disini….

Kalau lah malangnya saya tak dapat penyambung warisan, saya masih bersyukur dapat tumpang kasih anak saudara sebelah suami. Sayangkan mereka macam anak –anak sendiri. Harap bila adik-adik dah kawin nanti saya dapat juga tumpang kasih anak sudara sendiri pula kan? Bila pulak lah budak-budak tu nak kawin :D

Saya tak anggap diri saya malang. Saya anggap saya insan terpilih untuk merasa semua ini. Tak semua dapat merasai pengalaman melahirkan anak dan membesarkan anak. Tak semua juga orang dapat merasai pengalaman tak ada anak. Walaupun sedih kadang-kadang, tapi saya cuba berfikir baik, mugkin ilmu belum cukup di dada, mungkin duit belum cukup, mungkin kerja belum stabil, macam mana nak mencorak kan perjalanan hidup satu nyawa kalau hidup masih terumbang ambing.

Biar lah kalau ada kawan-kawan yang mengeji, cakap itu dan ini. Diorang nak cakap itu dan ini, boleh kah bagi saya anak? Nak sedih pun dah malas. Kadang-kadang ada yang perli di facebook.. "upload gambar anak lebih baik dari upload gambar kucing". Tak faham betul……

Berbalik kepada Erma Fatima, dia ambil anak angkat dan menjaga setiap anak angkatnya sebaik mungkin dengan sempurna seperti anak sendiri. Mugkin yang ada anak sendiri tak boleh melakukan sedemikian kepada anak mereka sepertimana Erma melakukanya. Malah saya rasa kebanyakan dari pasangan yang "Childless" akan ambil keputusan untuk ambil anak angkat. Ada di kalangan yang ibu bapa tidak mampu, ada anak terbuang, ada anak yatim piatu. Kehadiran pasangan Childless ni lah yang akan memberi sinar harapan kepada anak-anak tersebut. Jadi adakah golongan childless ni Malang?

Biar orang label kita malang, tapi jangan diri sendiri yang melabel diri sendiri malang. Anggaplah Allah pilih kita merasai semua ini. Bukan semua orang dapat melaluinya. Bukan semua orang dapat merasainya. Alhamdulillah. Di sebalik apa yang dikatakan MALANG itu, tersembunyi HIKMAH dari Nya.... Nikmat apakah yang nak kita dusta lagi?

Nukilan
Eny Abdullah