P3030923ed

Ada satu lagi jenis laksa yang tak kurang sedap dan popular di utara Kedah sini. Laksa Lemak Utara atau ada juga yang panggil laksa siam. Tapi kalau laksa siam betul-betul original, ulam-ulamannya terdiri dari pelbagai jenis daun daun pucuk kampung dan dihidang setalam ulam-ulam tersebut tanpa dipotong atau diracik macam selalu. Jadi kalau laksa lemak utara ni kuah dia hampir macam rasa laksa siam cuma part ulam tu dipotong halus macam laksa biasa je. Itulah je lah bezanya. Rasa tetap sama hehehe..

P3030962ed

Laksa tu selalunya pakai laksa jenis halus. Tapi nak pakai laksa yang biasa pun boleh. Macam saya suka rebus 2 jenis laksa sebab kat rumah ni ada yang suka laksa besar tu dan ada yang suka laksa halus..:D

P3031000ed


Laksa ni kaya dengan rasa lemak, pedas, berempah macam laksa johor jugak cuma tak pekat sangat.

P3031007ed



P3031024ed


Resepi Laksa Lemak Utara

Bahan-bahan :
1 paket laksa halus - direndam 2-3 jam kemudian baru direbus sehingga lembut. Kalau pakai laksa besar yang biasa tu kena rendam semalaman.
8-9 ekor ikan selayang besar - direbus dengan asam keping dan garam, ambil isinya, tumbuk halus. Air rebusan tu simpan bersama asam keping nya sekali. Tulang dan kepala ikan pula ditumbuk halus kemudian dicampur air dan ditapis. Simpan air tapisan tulang
3-4 sudu besar cili kering rebus dikisar kisar - ikut nak pedas ke tak
6-7 ulas bawang besar - dikisar
4-5  inci lengkuas - dikisar halus
3 inci kunyit hidup - dikisar halus - boleh pakai kuyit hidup dalam 1-2 sudu kecil
(boleh juga kisar sekali bawang lengkuas dan kunyit)
2 batang serai - diketuk
2 batang bunga kantan
2 peket kecil rempah daging - dibancuh dengan sedikit air
2 kotak santan dalam kotak
Sedikit minyak untuk menumis
Air secukupnya
2-3 keping asam keping

Cara-cara :
Panaskan minyak, dan tumis bawang kisar, lengkuas dan kunyit kisar, dan serai yang diketuk sehingga wangi...

Masukkan cili dan bancuhan rempah daging. Masukkan sedikit air jika terlalu kering. Nanti cepat hangit pula

Masak rempah dan cili tu sehingga naik minyak dan garing. Macam buat kari jugak lah

Kemudian masukkan air rebusan ikan, air tapisan tulang ikan dan isi ikan yang telah ditumbuk
Masukkan air dan adjust kepekatan yang diigini. Tetapi jangan cair sangat sebab kita nak masukkan santan lagi.

Masukkan bunga kantan dan asam keping dan biar kuah sehingga mendidih. Biar mendidih agak lama supaya mesra kuahnya.

Akhir sekali masukkan santan, garam secukup rasa dan sedikit gula dalam 1-2 sudu besar. Jangan manis sangat. Masukkan juga sedikit serbuk perasa jika suka.

Masak sehingga mendidih lagi sambil kacau. Tambah air lagi jika kuah masih pekat.

Siap!

Bahan-bahan ulam :

Kacang panjang
Taugeh
Timun
Bawang besar
Daun salad
Telur rebus