Nasi Tomato Utara Dan Ayam Masak Merah Style Kenduri

June 11, 2019

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin buat semua pembaca blog Kekny. Hari ni masuk raya ke 6 dah. Sekejap sahaja masa berlalu. Ok ni nak habaq kat hangpa orang belah Kedah mau kala raya saja mesti nak masak nasik. Dan nasik yang kami selalu masak ni tak lain tak bukan, Nasi Tomato Utara dan Ayam Masak Merah special yang rasa dia macam kita pi kenduri tu, punyalah sedap. Orang belah Kedah Penang Perlis kalau tak kenai nasik tomato hangpa kerat muka tauk dalam longkang, buat malu negeri saja  hehe. Oklah Nasi Tomato atau orang kedah mesti panggil 'Nasik Tometo' ni memang kalau raya saja mesti ada selain Nasi Daging Utara (Resepi Nasi Daging Utara boleh KLIK DISINI). Keunikan nasi tomato utara ni ialah lauk dia sempoi sahaja. Ayam masak merah, sikit kuah dalca dan acar mentah timun nenas. Hang buat lauk rendang, atau tukar kepada acar jenis goreng tu dah bukan ori nasi tomato utara dah. Tu nasi tomato versi hangpa hehehe.. 


Sepinggan Nasi Tomato lengkap dengan Ayam Masak Merah dan Acar. Kekny tak buat kuah Dalca sebab selalu tak berapa laku kuah tu kat rumah ni. Kalau jenis suka makan berkuah boleh la tambah dalca


Nak habaq bagi, kacang pis hijau tu lah signature nasi tomato kami orang utara. Dalam nasi kena ada dan juga dalam ayam masak merah pun kena ada. Nasi tu mau kalau hangpa pi taboq kismis gajus atau bawang goreng macam nasi minyak tu dah bukan ori dah tau hahahaha..


Nasi Tomato yang sedap rasanya sedikit masam dari tomato, harum bau tumisan bawang dan daun pandan. Warna dia merah oren elok saja. Ok jom tengok resepi di bawah.


Kena gu dengan acar timun nenas ni baru semperna rasa dia.


Cantik peroi dan gebu saja Nasi Tomato Kekny. Ni guna beras parboiled basmathi. Hang pa nak guna beras biasa pun boleh, sukatan air ikut sukatan hang pa selalu masak ya. Sebab kita guna beras tak sama.


Resepi Nasi Tomato

Bahan - bahan 
4 cawan beras parboiled basmathi Jasmeen
Daun pandan disimpul
5 sudu Minyak sapi atau butter 
1 batang kulit kayu manis
3 bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 tin kacang pis hijau
2 sudu teh garam 

Bahan cair kita campur sekali bagi cukup 5 1/2 cawan iaitu :
1 cawan susu sejat
1/2 tin besar tomato puree
Air cukupkan jadi 5 1/2 cawan bersama bahan diatas

Bahan kisar dengan sedikit air
10 ulas bawang merah atau 2 ulas bawang besar
10 ulad bawang putih
2 inci halia

Cara penyediaan :

Panaskan kuali dan cairkan minyak sapi atau butter. Tumis kulit kayu manis, buah pelaga dan  bunga lawang serta daun pandan. Masukkan bahan kisar. Tumis sampai wangi bahan kisar tu.

Masukkan beras, masak sekejap dan masukkan bahan cecair yang dicampur sekali.

Masak sampai kering airnya, bila kering air, tutup periuk dan kecilkan api. Masak sampai nasi masak sepenuhnya.

Tabur kacang pis diatas nasi dan gaul rata.

Nota : 4 cawan beras basmati ni bila kembang banyak boleh makan 10 ke 15 orang. Kalau beras biasa 4 cawan boleh makan 5 ke 6 orang. Sebab tu ayam saya guna 2 ekor.


Resepi Ayam Masak Merah Kenduri


Bahan bahan 
2 ekor ayam dipotong, gaul garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak. 
2 batang kulit kayu manis
3 bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 tin kacang pis hijau 
Daun pandan disimpul
1 cawan santan
1/2 tin tomato puree
1 cawan sos cili
5 sudu besar sos tiram
2 keping asam gelugur
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak goreng ayam

Bahan kisar
1 mangkuk besar cili kering
3 biji bawang besar
15 ulas bawang putih

Cara penyediaan :

Panaskan minyak dan tumis kuliy kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan daun pandan. Kemudian masukkan bahan kisar. Masak sehingga cili garing dan masak sepenuhnya. 

Masukkan sos cili, sos tiram dan tomato puree serta asam gelugur. Masuk garam dan gula secukup rasa. 

Masukkan ayam dan masukkan sedikit air supaya ayam lembih lembut dan meresap kuahnya dalam ayam. Masak sampai pekat dan akhir sekali masukkan santan. Kacau rata dan biar mendidih. 

Tabur kacang pis hijau dan siap. 






You Might Also Like

1 comments