Nasi Tomato Ayam Masak Merah Utara

/
3 Comments
10:56 am
Sajian paling popular di utara terutama Kedah dan Penang ialah Nasi Tomato. Selalunya dihidangkan pada hari raya, kenduri kecil atau jamuan hari jadi. Kalau betul guna bahan rempah dan resepinya hidangan ni memang sedap. Simple tapi memang ni hidangan nostalgia masa kecik-kecik dahulu. Pada pagi raya hampir semua rumah menjamu nasi tomato dan ayam masak merah ni. Namun tak jemu menikmatinya sampai lah sekarang.

Rahsia kesedapan terletak pada nasi yang wangi dan ada sedikit rasa masam dan manis tomato. Tumis biasa je macam nasi minyak, cuma ditambah tomato,  susu sejat bagi menaikkan rasa nasinya menjadi mewah.

PB285898

Padanan lauk yang sesuai semestinyalah ayam masak merah, bukan ayam masak merah biasa, tetapi ayam masak merah yang wangi dan harum aromanya yang menjadi lauk utama kenduri kendara di kedah. Ditumis dengan bawang yang banyak dan diletakkan sedikit santan.

Ada juga suka gandingkan dalca cair yang dicampur tulang ayam dan juga sayur seperti terung, kacang panjang, lobak merah dan kentang. Buat kawan kepada ayam masak merah tu kan.

Paling penting kena ada acar jelatah timun dan nenas sebagai pelengkap rasa dan penyegar mulut. Maklumlah rasa nasi dan lauk agak berat, jadi acar rangup, manis, pedas, masam menjadi kan rasanya seimbang.

Memang sedap nasi tomato utara, seindah merahnya nasi terhidang dalam pinggan.. ok jom tengok resepinya. Ini resepi mak Kekny yang dia selalu buat. Memang semua orang puji resepi nasi tomato maktok ni.
PB285889ed


Resepi Nasi Tomato

Bahan-bahan
4 cawan beras
1 cawan susu cair
4 sudu besar minyak
4 cawan air - ikut beras yang digunakan ada kena kurang air ada yang kena lebih
2 biji tomato - dicincang kasar
3-4 sudu besar tomato puri dalam tin
2 helai daun pandan, disimpul
2 camca teh garam

Bahan rempah tumis 
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

Bahan kisar 
1 ulas bawang besar
1 inci halia
3 ulas bawang putih


Cara penyediaan 
Panaskan minyak, Tumis bahan rempah tumis dan bahan kisar sekali bersama daun pandan. Masukkan tomato cincang. Masak sekejap sehingga tomato layu.

Masukkan air dan susu cair.  Masukkan tomato puri dan sedikit garam dan kacau rata. Kemudian masukkan beras dan masak nasi seperti biasa sehingga kering.


Resepi Ayam Masak Merah Utara

Bahan-bahan 
1 ekor ayam dipotong 12 atau 24 - digaul garam, kunyit, bawang putih dan halia tumbuk. Perap sekejap dan goreng 3/4 masak

3-4 senduk cili kering kisar - ikut pedas
2 senduk sos cili
2 labu bawang besar dikisar - boleh juga kisar sekali bersama cili kering
2 batang serai dititik
1/2 cawan susu sejat
1 ulas bawang besar dipotong atau dibelah
Kacang peas dalam tin - ditapis airnya. Saya tak letak sebab tak ada stok.

Bahan tumis
1 labu bawang besar potong nipis
5 ulas bawang putih ditumbuk
5 ulas bawang merah ditumbuk
2 biji bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
3 biji pelaga
3-2 biji cengkih
sedikit minyak gorengan ayam


Cara penyediaan

Dalam kuali, tumis bahan tumis sehingga wangi baunya. Masukkan serai yang dititik. Masukkan cili kering kisar bersama bawang besar kisar. Tumis sehingga cili pecah minyak.

Masukkan sos cili, bawang besar yang dihiris nipis, dan kacau rata. Masukkan ayam dan tambah air jika perlu. Saya tambah juga air sekadar dan melembutkan ayam dan biar kering barulah sos cepat meresap dalam ayam dan lebih sedap.

Akhir sekali masukkan santan dan kacau rata. Biar mendidih sekejap barulah ditabur kacang peas dan terus tutup api.

Acar Jelatah Mentah

Bahan  - bahan 
2 batang timun, dilorek kulit dengan garfu dan potong nipis
1 biji nenas dipotong nipis
kobis putih dihiris nipis - saya tambah, boleh skip jika tak suka
1 labu bawang besar, dihiris nipis
cuka makan secukupnya
Gula secukupnya
Garam secukupnya
Cili padi atau cili merah dihiris nipis

Cara penyediaan
Campur semua bahan, gaul rata. Acar ni rasa sedikit manis masam, jadi pandailah adjust cuka gula dan garam ikut kesesuaian rasa yang kita nak.

Sejukkan dulu sebelum dihidangkan.

Jom cuba resepi nasi tomato ayam masak merah utara ni.. tak rugi cuba



You may also like

3 comments:

  1. sedapnya nasi tomato. lama dah cari resepi. hopefully boleh buat weekend ni. senang jugak bahan dia. yummy

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete